Tiada kerja-kerja pembinaan dijalankan di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini hari ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Tiada kerja-kerja pembinaan dijalankan di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini hari ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Tiada kerja-kerja pembinaan dijalankan di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini hari ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah mengeluarkan arahan memberhentikan kerja bagi projek lebuh raya itu susulan beberapa rasuk konkrit bagi projek itu terjatuh di lereng Jalan Tun Sardon pada Khamis lepas, iaitu satu kilometer dari tempat kejadian tanah runtuh.

“Oleh kerana arahan menghentikan kerja’ masih berkuatkuasa, kegiatan kerja sudah berhenti. Saya dimaklumkan pihak kontraktor telah memberi laporan kepada DOSH pagi tadi dalam mesyuarat dengan DOSH untuk memberi makluman tentang apa-apa kerja mitigasi yang perlu diambil.

“Mereka perlu menghantar laporan petang ini tetapi sebelum laporan dihantar kejadian tanah runtuh ini berlaku dan pihak kontraktor dan pekerja sememangnya dalam tempoh tidak dapat melakukan kerja kerana sudah ada ‘arahan menghentikan kerja’,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Terdahulu, Chow bersama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari dan Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri Yeoh Soon Hin meninjau lokasi kejadian.

Projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus yang bernilai RM545 juta itu dijangka tertangguh ekoran kejadian di tapak pembinaannya yang melibatkan sebanyak 14 rasuk konkrit berukuran 25m setiap satu terjatuh di lereng pada Khamis lepas.

Projek itu, yang telah dimulakan pada 2016 dilaksanakan oleh tiga pihak sebagai langkah penjimatan termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), PLB Land Sdn Bhd dan Geo Valley Sdn Bhd manakala kejadian itu berlaku dalam bahagian yang di bawah kendalian MBPP.

Chow berkata projek itu dijangka siap pada 2020.

Beliau berkata keadaan cuaca yang tidak menentu dan terdapat pengairan di lereng bukit dipercayai menjadi punca kepada kejadian tanah runtuh itu.

“Kita nampak memang ada air mengalir keluar dari lereng bukit ke bawah dan saya percaya cuaca hujan menjadi salah satu sebab (kejadian tanah runtuh),” katanya.

Dalam pada itu, Chow berkata kerajaan negeri menzahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap kejadian yang menimpa mangsa dalam kejadian itu.

“Saya berasa amat sedih mendapati ada mangsa yang terkorban dan setakat ini dua pekerja telah disahkan meninggal manakala seorang lagi dapat diselamatkan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan berhubung kejadian itu, Chow berkata perkara itu akan dipertimbangkan kemudian.

Dua maut dan seorang cedera manakala sekurang-kurangnya 10 lagi mangsa iaitu pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan projek lebuh raya berkembar itu masih tertimbus di bawah timbunan tanah runtuh.

— BERNAMA