khasoggi

DUBAI – Pihak berkuasa Arab Saudi bertindak memecat dua pegawai kanan kerajaan yang dipertanggungjawabkan dengan kehilangan Jamal Khashoggi yang kemudian dipercayai telah dibunuh dengan kejam.

Agensi melaporkan, dalam satu kenyataan Arab Saudi, Khashoggi dikatakan telah dibunuh selepas sedikit pergelutan antara wartawan terkemuka itu dengan pegawai kedutaan di Istanbul pada 2 Oktober lepas.

Sebelum ini, Arab Saudi berkeras pihaknya tidak terlibat dengan kehilangan Khashoggi malah berkali-kali menafikan lelaki itu hilang di konsulat mereka di Turki.

Insiden ini juga sebenarnya telah menjejaskan hubungan diplomatik antara Riyadh dan Barat ketika ini.

“Siasatan masih lagi berjalan dan setakat ini 18 warga Arab Saudi sudah ditahan. Seorang penasihat kerajaan, Saud al-Qahtani dan timbalan ketua perisikan Ahmed Asiri dipecat dari jawatan mereka,” kata kenyataan tersebut.

Khashoggi yang sebelum ini merupakan bekas Ketua Pengarang Al Arab News sebelum menyertai Washington Post dua tahun lepas dipercayai amat lantang mengkritik pentadbiran Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Baru-baru ini beliau dilaporkan telah hilang selepas memasuki konsulat pada 2 Oktober lalu untuk mendapatkan dokumen bagi urusan perkahwinan dengan tunangnya seorang warga Turki.

Kerajaan Turki mengeluarkan kenyataan pihaknya percaya kolumnis akhbar itu terbunuh di dalam bangunan konsulat Arab Saudi di negara itu.

Namun demikian, Arab Saudi sebelum ini menafikan dakwaan itu berkali-kali dengan mengatakan Khashoggi sudah meninggalkan konsulat itu selepas urusan olehnya. – MalaysiaGazette