Presiden Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berucap pada Pelancaran Buku "The End Of UMNO? Where is UMNO headed after GE14?" di AIAC Auditorium (KLRCA) Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2018

KUALA  LUMPUR – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) memberi bayangan adalah lebih baik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan atau bercuti.

Ia bagi membolehkan parti untuk mengadakan semula pemilihan bagi Presiden UMNO.

Ini berikutan pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid terhadap 45 dakwaan pe­cah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit antara tahun 2014 dan April lalu.

Menurut Ku Li, sebelum ini ada pemimpin dalam parti terpaksa meletak jawatan apabila berdepan dengan dakwaan salahguna kuasa dan penyewelengan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, seandainya kepentingan parti itu penting lebih daripada peribadi maka jalan terbaik adalah dengan meletakkan jawatan atau bercuti.

“Memang ada sebelum ini ada pemimpin tertinggi UMNO yang terpaksa meletak jawatan atau bercuti sekiranya terlibat dengan tuduhan di mahkamah.

“Perlembagan parti tidak menyebut demikian tetapi jika sayang parti, sesiapa yang terpalit dengan tuduhan perlu meletakan kepentingan parti terlebih dahulu. Itu yang sebetulnya tetapi terpulang kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran buku The End of UMNO suntingan Profesor Bridget Welsh di sini hari ini.

Ku Li berkata, sebelum ini pemimpin seperti bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Harun Idris dan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pernah meletak jawatan dalam parti ketika menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Tambah Ku Li, pemimpin yang dituduh seandainya berjaya membebaskan diri daripada semua pertuduhan itu boleh kembali meneruskan jawatan dalam parti selepas itu.

“Saya bukan berkata Ahmad Zahid perlu ‘meninggalkan’ parti sebaliknya hanya mengulangi apa yang dikatakan oleh segelintir pihak apa yang patut dilakukan sebenar-benarnya,” tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, UMNO akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan untuk memutuskan sama ada Ahmad Zahid akan bercuti sementara selepas didakwa di mahkamah.

Mohamad Hasan berkata, cadangan daripada Jawatankuasa Pengurusan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

“Sudah menjadi Prosedur Operasi Standard (SOP) parti apabila ada ahli yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti bekerja sekiranya mereka didakwa di mahkamah.

“Tetapi, beliau boleh kembali menjawat jawatan sekiranya dibuktikan tidak bersalah.

”SOP berkenaan diwartakan pada 2009 di mana pemimpin akan digantung daripada berkhidmat sekiranya didakwa,” katanya. – MalaysiaGazette