GEORGE TOWN – Mayat mangsa keempat tragedi tanah runtuh di sini telah berjaya ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 11.55 pagi.

Mangsa dikenali sebagai Bahtiar, seorang warga Indonesia.

Sebelum itu, kira-kira pukul 1.30 pagi tadi, mayat ketiga mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemukan dan dikeluarkan dari timbunan tanah kira-kira pukul 1.30 pagi ini.

Mayat Khin Aye Khaing, 33, warga Myanmar ditemukan oleh unit anjing pengesan (K9) tidak jauh dari lokasi mayat kedua dijumpai.

Timbalan Komander Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kejadian itu Mohd Tarmizi Mat Jaafar yang juga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM ) Pulau Pinang berkata mayat wanita itu disahkan oleh suaminya yang merupakan pekerja di tapak pembinaan lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus.

Beliau berkata mayat wanita itu hanya dikeluarkan sejam selepas dijumpai berikutan terdapat sedikit kesukaran kerana keadaan tanah runtuh yang teruk di situ.

“Mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat, ” katanya kepada Bernama di sini.

Petang semalam dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35. Kejadian tanah runtuh pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu turut menyebabkan tiga cedera dan 10 lagi dikhuatiri tertimbus.- BERNAMA