KUALA LUMPUR – Para perwakilan MIC akan mula mengundi pada pukul 4 petang ini bagi memilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 21 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu bagi penggal 2018-2021.

Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden MIC kali ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara bekas anggota CWC Datuk Seri M. Saravanan dan bekas Pengerusi MIC Perak Tan Sri M. Ramasamy.

Tiga jawatan naib presiden pula menyaksikan persaingan sengit dengan 10 calon merebut jawatan itu pada pemilihan kali ini.

Antara yang merebut kerusi naib presiden ialah penyandang jawatan itu Datuk T. Mohan, bekas Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivaraajh, bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk L. Manickam dan bekas Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan.

Selain itu, 44 calon lagi merebut 21 kerusi CWC pada kali ini antaranya Datuk P. Kamalanathan, Datuk N. Muneandy, K. Sathasivam, R. Gunaselaan, M. Mathuraiveran dan J. Dhinagaran.-BERNAMA

Tinggalkan Jawapan