Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Peningkatan tujuh kali ganda di dalam Akaun Hasil Disatukan dari Mei ke Ogos 2018 menjelaskan cara kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendapatkan dana yang memadai untuk memastikan pentadbiran kerajaan secara lancar.

Ia termasuk membayar gaji dan pencen bulanan sebanyak RM8 bilion, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Kerajaan PH mahu buktikan yang sebuah kerajaan bersih bukan sahaja dapat membebaskan Malaysia dari dikenali sebagai sebuah kleptokrasi global tetapi juga membantu kita dapatkan sumber-sumber yang baru,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Guan Eng berkata, sebagai sebuah kerajaan yang komited terhadap prinsip pendedahan penuh – Kementerian Kewangan menegaskan sekali lagi hanya RM450 juta yang ditinggalkan di dalam Akaun Hasil Disatukan ketika PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada 9 Mei lalu.

“Ada yang mempersoalkan sama ada angka-angka ini benar walaupun ia didedah dan disahkan oleh Akauntan Negara, Datuk Saat Esa.

“Ada yang bertanya bagaimana Kerajaan PH mampu terus membayar gaji dan pencen bulanan berjumlah RM8 bilion dengan hanya RM450 juta,” katanya lagi.

Menurutnya, dalam tempoh empat bulan dari Januari ke April, hasil yang dikutip di dalam tempoh tersebut ialah RM71.88 bilion berbanding Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM83.29 bilion yang membawa kepada defisit RM11.41 bilion di dalam baki akaun semasa.

Defisit RM11.41 bilion ini merupakan sebab mengapa Akaun Hasil Disatukan, yang di awal tahun fiskal mempunyai RM11.86 bilion hanya berbaki RM450 juta di penghujung April 2018.

Oleh kerana kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan yang genting ketika PH mengambil alih pemerintahan pada 9 Mei 2018, kami tidak ada pilihan lain selain mengenakan tindakan-tindakan tegas untuk mengawal perbelanjaan pengurusan dan pembiayaan kos secara hemat,” kata Guan Eng.

Selebihnya, pemerintahan PH secara cekap, akauntabiliti dan telus telah memberi bukan sahaja penjimatan dari penghapusan amalan-amalan korup tetapi juga pulangan kecekapan hasil usaha-usaha reformasi institusi seperti tender terbuka yang kompetitif.

Amalan pengurusan kewangan Kerajaan PH yang baik dan berhemat telah menghasilkan lebihan sebanyak RM3.25 bilion di dalam Baki Akaun Semasa di dalam tempoh empat bulan dari Mei ke Ogos 2018.

Hasil untuk tempoh empat bulan dari Mei ke Ogos 2018 telah meningkat sebanyak RM1.70 bilion dari RM71.88 bilion ke RM73.58 bilion apabila dibandingkan dengan tempoh empat bulan dari Januari ke April 2018, sedangkan perbelanjaan pengurusan
telah secara jelas susut sebanyak RM12.96 bilion dari RM83.29 bilion ke RM70.33 bilion.

“Lebihan dalam baki akaun semasa sebanyak RM3.25 bilion telah membantu Kerajaan Persekutuan mencatatkan baki Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM3.70
bilion pada 31 Ogos 2018.

“Peningkatan sebanyak tujuh kali ganda sebanyak RM3.25 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan dalam hanya empat bulan dari RM450 juta pada 30 April 2018 kepada RM3.70
bilion pada 31 Ogos adalah bukti jelas kecekapan pengurusan kewangan kerajaan PH,” kata Guan Eng.- MalaysiaGazette