GEORGE TOWN – “Kami sedang makan di kantin apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat dan melihat tanah itu runtuh membawa bersama semua kontena dan rumah kongsi yang ada di situ.” Demikian kata saksi kejadian tanah runtuh di tapak Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini.

Budi Arsil, 35, berkata kejadian berlaku dalam sekelip mata dan dia serta rakan-rakannya yang ketika itu sedang makan hanya mampu melihat.

Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan pada 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Menceritakan detik-detik cemas ketika runtuhan itu, Budi Arsil berkata tidak sampai seminit kesemua kontena dan rumah kongsi yang didiami mereka itu lenyap ditimbus tanah berserta rakan-rakan yang sedang berehat di dalamnya.

“Kami semua panik dan ada yang lari untuk selamatkan diri. Keadaan di tapak pembinaan juga menjadi kelam-kabut…kami cuba mencari rakan-rakan yang mungkin terperangkap dalam runtuhan itu.

“Saya tahu ada ramai yang sedang berehat di dalam kontena semasa kejadian…,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Katanya usaha mereka untuk mencari dan menyelamatkan rakan-rakan yang terperangkap tidak berjaya kerana keadaan tanah runtuh yang teruk.

Budi yang bekerja di tapak pembinaan itu sejak tahun lepas, berkata dia bersyukur kerana kejadian berlaku selepas lima minit dia turun ke kantin untuk makan.

Kebanyakan pekerja yang berada di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu tidak bekerja berikutan projek tersebut dihentikan sementara.

“Ada anggota keluarga kawan-kawan yang tertimbus sudah mula menangis dan mengambil peralatan untuk korek tanah runtuh kerana mahu menyelamatkan mereka. Saya sendiri pun sedih membayangkan nasib mereka kerana kami di sini seperti satu keluarga,” kata rakyat Indonesia itu.

Rakannya Daswi, 24, juga warga Indonesia, pula berkata dia sangat sedih kerana dua rakan sekampungnya iaitu Samsul Asman, 19, dan Bahtiar, 36, terkorban dalam kejadian itu manakala seorang lagi rakan karibnya Subairi masih belum ditemui.

“Kami semua kawan rapat. Kami semua berasal dari Sulawesi dan saya bersama Samsul tinggal di dalam kontena yang sama…masa kejadian Samsul beritahu dia tidak mahu makan kerana hendak tidur kerana letih sebab itu saya sahaja yang pergi ke kantin…dua lagi rakan kami tinggal di kontena lain bersama isteri masing-masing,” katanya.

Dua mayat iaitu lelaki Indonesia Samsul dan warga Bangladesh Attrul, 35, ditemui petang semalam manakala mayat wanita Myanmar, Khin Aye Khaing, 33, ditemui pada 1.30 pagi tadi sementara mayat keempat dikenali Bahtiar dari Indonesia dikeluarkan pada 11.55 pagi hari ini.- BERNAMA