Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (dua kiri) diiringi Pengarah Urusan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli (kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik Pelancaran RHB-X-Cel dan RHB Money Master di Kompleks RHB Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2018.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (dua kiri) diiringi Pengarah Urusan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli (kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik Pelancaran RHB-X-Cel dan RHB Money Master di Kompleks RHB Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2018.

BANGI – Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amirudin Shari menyifatkan dakwaan ‘politik wang’ dalam pemilihan parti bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sudah lama wujud.

Amirudin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor berkata, hampir setiap kali menjelang pemilihan parti, pasti ada pelbagai jenis dakwaan melibatkan politik wang mengaitkan dengan calon-calon tertentu.

Bagaimanapun, jelas Amirudin, dakwaan-dakwaan itu sebenarnya terpencil, tidak dilaporkan kepada jawatankuasa disiplin atau tidak mempunyai bukti kukuh sehingga akhirnya senyap begitu sahaja.

“Setiap tahun ada dakwaan seperti ini berhubung wujudnya politik wang dalam pemilihan parti Keadilan. Sebenarnya ini bukan sesuatu yang baharu tetapi ketika itu media tidak begitu prihatin atau insiden sebegini tidak disampaikan terus kepada anda seperti sekarang.

“Setiap dakwaan-dakwaan politik wang ini perlu disusuli dengan bukti kukuh dan tindakan tegas perlu segera diambil bagi memastikan isu ini dapat ditangani pada masa hadapan.

“PKR sejak dulu lagi telah menentang politik wang dan rasuah, ini adalah prinsip kita dulu dan kini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian RHB Excel dan RHB Money Master di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysia Gazette berhubung teguran berbaur amaran daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pihaknya tidak akan sesekali bertolak ansur dengan mana-mana pemimpin parti yang menyalahgunakan kapasiti kewangan dan kedudukan untuk membeli pengundi.

Anwar dengan lantang menyifatkan mana-mana induvidu dalam partinya yang menggunakan wang serta jawatan sebagai umpan untuk membeli undi sebagai ‘haprak syaitan’ dan tidak seharusnya dibiarkan terlepas begitu sahaja.

Tambah Amirudin, beliau tidak melihat dakwaan politik sebagai begitu serius tetapi mahu tindakan tegas diambil oleh kepimpinan tertinggi seandainya ada bukti berhubung perkara itu.

“Semua ini baru tuduhan, kita tidak nampak lagi bukti kukuh bagi menyokong dakwaan-dakwaan politik wang ini.

“Saya sendiri tidak pernah sehingga kini ditawarkan apa-apa wang untuk mengundi atau menyokong pihak-pihak tertentu dalam parti. Tidak pernah. Kita dalam parti ada garis panduan yang perlu dipatuhi, saya yakin hampir 80 peratus daripada ahli mematuhinya.

“Hanya dalam 10 hingga 20 peratus ini masih lagi terbawa-bawa dengan budaya money politics. Apa-apa pun, saya mohon supaya ianya dibawa dengan segera ke jawatankuasa displin supaya tindakan tegas diambil,” ujarnya.

Baru-baru ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa ahli parti itu telah ditawarkan wang tunai RM100 bagi setiap undi untuk calon tertentu dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, perbuatan itu didakwa berlaku dalam pemilihan yang telah diadakan di enam negeri sejak 20 September lalu.

Rafizi berkata, beliau berasa sangat bimbang dengan perbuatan itu tetapi enggan mengesahkan sama ada ia terjadi dengan berleluasa. – Malaysia Gazette

Teguran ‘syaitan haprak’ oleh Anwar wajar diberi perhatian, rakyat juga tidak ‘bodoh’