Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin (tengah) bergambar bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (kiri) dan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasinal, Datuk Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha (kanan) selepas menyempurnakan gimik perasmian pada Hari Statistik Negara 2018 di Stadium Mini, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2018.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin (tengah) bergambar bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (kiri) dan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasinal, Datuk Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha (kanan) selepas menyempurnakan gimik perasmian pada Hari Statistik Negara 2018 di Stadium Mini, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2018.

BANGI – Jabatan Perangkaan Malaysia dalam proses membangunkan satu sistem mesra pengguna dalam talian untuk digunakan dalam proses Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020).

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sistem baharu itu akan memudahkan pengumpulan data dan statistik bancian penduduk lebih tepat, efisien dan cepat.

“Antaranya kami sedang membangunkan kaedah penyusunan statistik secara online sensor (pengesan) kepada rakyat yang tidak sempat menerima kunjungan pembanci konvensional ke pintu rumah.

“Dengan kaedah banci dalam talian ini, setiap warganegara yang tidak sempat memberi data dan maklumat isi rumah dapat menyempurnakan tanggungjawab banciannya seperti hak mengundi juga pada Bancian 2020 menggunakan kaedah online menerusi pengisian borang banci.

“Kejayaan pelaksanaan kaedah yang sedang diusahakan Jabatan Perangkaan ini memerlukan kerjasama jitu semua pihak untuk memasukkan data ke dalam sistem secara integrasi,” katanya selepas majlis Hari Statistik Negara 2018 di Stadum Mini Universiti Tenaga Nasional, Bangi di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohd. Uzir menambah, Jabatan Perangkaan telah dilantik kerajaan mewakili negara sebagai ahli High Level Groups On Sustainable Development Goals (SDG) dan dipertanggungjawab untuk menentukan hala tuju pembangunan petunjuk SDG.

Sambutan yang bertemakan Data Berkualiti, Kehidupan Sejahtera (Better Data, Better Live) yang diadakan tahun kedua ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr.  Mohd Radzi Md. Jidin.

Tambah beliau, pembangunan kaedah bancian dalam talian akan membantu mengurangkan pemprosesan data yang mana data setiap individu atau isi rumah dalam dimasukkan dalam sistem.

“Kita juga sedang cuba mengintegrasikan sistem data yang dikumpulkan banci dan pentadbiran di kementerian berkaitan dan ia sudah pasti memerlukan kerjasama semua pihak jabatan dan agensi,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, masa dan senario telah mengubah negara yang bertukar status sebagai negara pertanian kini menuju ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 selain perubahan demografi dan topografi serta teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Digital.

“Kalau ikutkan dulu, ramai yang duduk di kampung dan luar bandar berhijrah ke bandar sekaligus mengubah demografi populasi penduduk dan sistem dalam talian juga perlu bergerak pantas seiring dengan perubahan demografi itu.

“Di sini, penting untuk perangkaan supaya merekodkan data yang tepat dan pantas untuk tampil dengan statistik yang berfakta ke arah kelancaran pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan kini dalam situsi dimana mengejar kelajuan teknologi untuk menyediakan statistik yang optimum yang semakin hari bertambah kompleks.

Beliau turut mengakui, dalam konteks Malaysia sistem statistik yang diwarisi sejak zaman British begitu kukuh dan Malaysia dijadikan penanda aras oleh negara dunia lain untuk mempelajari kemahiran statistik.

“Rakyat perlu memperbaharui azam bahawa statistik untuk semua maknanya bukan untuk para perangkawan yang menyusun statistik sahaja.

“Statistik ini umpama air, air digunakan oleh semua orang demikian juga statistik yang tidak digunakan secara individu tetapi secara kolektif untuk perancangan dan hasil baik secara umum bermanfaat,” tegasnya.- MalaysiaGazette