Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

DUNGUN – Kerajaan negeri memandang positif usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi peruntukan yang lebih saksama kepada beberapa negeri termasuk Terengganu bagi memastikan agenda pembangunan antara wilayah lebih setara seperti yang dinyatakan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat Jumaat lepas.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan di atas pembentangan berkenaan dan berharap rundingan lanjut boleh dilakukan bagi membincangkan perkara itu.

“Saya bersama Menteri Besar Kelantan dan Pahang telah dipanggil untuk menghadiri satu mesyuarat Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Okt nanti di Putrajaya.

“Saya percaya sebahagian daripada perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah berkaitan perkara dasar yang telah dibentangkan dalam KSP RMK11 yang akan diperincikan dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Dana Surau Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail, di Dewan Arena Square di sini malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata selain agenda pembangunan saksama antara wilayah, langkah kerajaan untuk mengembalikan semangat federalisme antara kerajaan negeri dan pusat juga harus dipuji dan disifatkan sebagai satu pembaharuan positif yang dibawa oleh kerajaan baharu.-BERNAMA