Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri), Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (dua kanan), Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng (kiri) dan Menteri Pertahanan Malaysia, Yb Mohamad Sabu (kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengakui hendak mengubah menteri-menteri yang dahulunya menjadi pembangkang bukanlah sesuatu mudah.

Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ahli-ahli kabinet beliau belajar dengan cepat.

“Tetapi setakat ini, Alhamdulillah kita taklah dengar perkara-perkara tak diingini berlaku,” kata beliau dalam wawancara Astro malam tadi.

Mahathir berkata, beliau selalu berbincang dengan mendalam bersama-sama ahli kabinet supaya masing-masing faham bagaimana menjadi pemerintah.

Tambahnya, beliau sentiasa terbuka dengan perbezaan pendapat kerana tidak pernah menggunakan kekerasan untuk patuh kepada sesuatu yang diputuskan.

Namun, mereka akhirnya akan akur dengan sesuatu keputusan yang dimuktamadkan.

Ditanya berapakah markah bagi prestasi kabinetnya, Mahathir berkata; “40/50”. – MalaysiaGazette