BEIJING – China merancang melancarkan ‘bulan’ palsu bagi menggantikan lampu jalan dan mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik.

Ahli sains China berkata, bulan buatan manusia itu, iaitu satelit, akan berada di orbit pada tahun 2020.

Cahayanya lapan kali lebih terang daripada bulan dan akan menerangi bandar Chengdu, ibu negari wilayah Sichuan, lapor RT.

China berharap, inovasi tersebut akan menggantikan lampu jalan dan mengurangkan kos elektrik tahunan sehingga 1.2 bilion Yuan.

Penduduk di kawasan terbabit tidak perlu bimbang ia ‘akan menerangi langit sepanjang malam’, kata Ketua Masyarakat Sains Kawasan Baharu Tian Fu, Wu Chunfeng kepada China Daily.

“Pada pandangan mata manusia, keterangan (bulan palsu) dijangka kira-kira seperlima terang lampu jalan,” katanya sambil menambah ia boleh membantu perkhidmatan kecemasan semasa gangguan bekalan elektrik dan bencana alam.

‘Bulan’ itu hanya akan menerangi kawasan seluas 50 kilometer persegi memandangkan kedudukannya yang lebih hampir dengan bumi berbanding
bulan.

Ia akan diletakkan pada kedudukan 500 kilometer dari bumi berbanding
jarakan antara bumi dan bulan sejauh 380,000 kilometer.

Jika projek itu didapati berkesan, China merancang untuk melancarkan
tiga buah bulan lagi di negara tersebut pada 2022.

“Bulan pertama merupakan ujian, namun ketiga-tiga bulan pada 2022 merupalkan potensi umum dan komersial,” kata Wu.

Sebelum dilancarkan, bulan itu perlu diuji di kawasan yang tidak berpenghuni di padang pasir bagi memastikan pantulan cahayanya tidak mengganggu manusia atau peralatan pemerhatian angkasa yang berpengkalan di bumi, – Agensi