Sebahagian calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisi borang untuk penamaan calon pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun 2018 di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakayat (PKR), Petaling Jaya. Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 OGOS 2018

SHAH ALAM – Pemilihan PKR di Selangor membabitkan lebih 83,000 anggota parti di 7 cabang yang disahkan layak mengundi untuk memilih kepimpinan berlangsung hari ini.

Tujuh cabang berkenaan ialah Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang dan proses pengundia fasa kedua itu dijangka bermula pukul 9 pagi tadi sehingga 5 petang ini.

Baki 6 cabang lagi akan menjalankan pengundian pada 28 Oktoberf depan melibatkan Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Fasa pertama proses pemilihan di Selangor membabitkan 9 cabang pada 14 Oktober lepas, menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabar, Mohd Rafizi Ramli untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

Azmin direkodkan pada waktu itu memperoleh 9,337 undi sementara Mohd Rafizi yang merupakan naib presiden PKR meraih 8,563 undi.

Mohamed Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor mendapat sokongan daripada 6 cabang iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja dan Sepang manakala Mohd Rafizi memperoleh sokongan daripada 3 cabang iaitu Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kapar.

Antara yang menarik tumpuan pada fasa kedua pemilihan parti hari ini adalah melibatkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang bertanding jawatan ketua cabang Gombak setelah penyandangnya, Mohamed Azmin memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

Selain itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar pula berdepan pertandingan 4 penjuru bagi merebut jawatan ketua cabang Kuala Langat. – MalaysiaGazette