Mayat ketujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badan serta kepala tercerai daripada tubuh di bawah timbunan tanah pada kedalaman 10 meter.
Mayat ketujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badan serta kepala tercerai daripada tubuh di bawah timbunan tanah pada kedalaman 10 meter.

GEORGE TOWN – Mayat ketujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badan serta kepala tercerai daripada tubuh di bawah timbunan tanah pada kedalaman 10 meter.

Mayat warga Bangladesh, Md Abdul Jalil, 34 serta kepalanya ditemui pada 4.50 petang tadi di sempadan sektor dua dan tiga manakala tangan kiri dan kaki kanan mangsa belum dijumpai.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata mayat Md Abdul Jalil dicam oleh rakan-rakannya berdasarkan hujung jari kaki kirinya yang melekat.

“Polis percaya mangsa telah dihempap batu besar ketika kejadian sehingga menyebabkan kepala dan anggota badannya terpisah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Susulan penemuan mayat terbaharu itu terdapat tiga lagi mangsa yang masih hilang, dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah tersebut.

Che Zaimani berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga mangsa iaitu seorang lelaki Indonesia, Subairi dan dua lelaki Bangladesh dikenali Ujal dan Rahat kini bertumpu di sektor dua dan tiga berikutan Unit Anjing Pengesan (K-9) ‘berminat’ di kawasan itu.

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Bukit Kukus yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat itu turut menyebabkan empat yang lain cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh dan tiga wanita Indonesia.

Che Zaimani berkata mangsa lelaki yang cedera, Shamim, 24, yang dirawat di Hospital Pulau Pinang hari ini dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu dan keadaannya yang mengalami kecederaan dalaman dilaporkan kritikal.

Beliau berkata tiga wanita Indonesia yang cedera iaitu Wa Iri, 36, mengandung empat bulan; Norazizah, 24; dan Laduma, 46, telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Laduma yang mendakwa diri sebagai mangsa kejadian tampil di lokasi kejadian hari ini untuk memberi maklumat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Wanita itu sebelum ini tiada dalam senarai nama mangsa kejadian tanah runtuh tersebut.

Che Zaimani berkata SAR akan diteruskan malam ini selepas perbincangan dengan bomba serta Jabatan Mineral dan GeoSains.

“Tanah di sini telah didapati selamat dan operasi akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui,” katanya.

Sementara itu, Che Zaimani ketika dihubungi berkata tujuh pekerja asing yang maut dalam kejadian tersebut tidak mempunyai permit kerja sah untuk bekerja di negara ini manakala yang cedera pula belum diketahui sama ada mempunyai permit atau tidak.

Katanya berdasarkan siasatan dan pemeriksaan awal dengan kontraktor terlibat, ada di antara tujuh mangsa yang maut itu langsung tidak mempunyai pasport dan dokumen perjalanan diri mereka telah tamat tempoh.

— BERNAMA

Tanah runtuh P. Pinang: Tiga dikhuatiri maut, 12 lagi hilang

Tanah runtuh maut: NGO salahkan kerajaan Pulau Pinang

Tiada kerja pembinaan dilakukan ketika kejadian tanah runtuh – Chow