Chua Soi Lek
Bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek berucap pada majlis Pelancaran Buku Bertajuk ‘Like Me or Hate Me’ di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – MCA perlu tinggalkan UMNO dan keluar daripada Barisan Nasional (BN) kerana gabungan itu tidak lagi relevan sebagai sebuah parti politik, kata bekas Presidennya, Tan Sri Chua Soi Lek. 

Menurut Soi Lek, kepimpinan MCA perlu menumpukan perhatian untuk mengukuhkan parti agar dapat diterima bukan sahaja dalam kalangan kaum Cina sahaja.

“Saya anggap MCA seharusnya keluar daripada BN. 

“MCA patut berdiri sendiri untuk kuatkan parti dan jadi parti yang pelbagai bangsa. Jangan tumpu sekolah Cina sahaja, pengiktirafan UEC sahaja. Cakap pasal isu besar, saya tidak pernah dengan MCA cakap pasal urus tadbir, MARA, Felda,”katanya ketika sidang media. 

Soi Lek sempat menyelar Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berkata akan menyingkirkan UMNO kerana parti itu tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. 

“Dia buat lawak apabila katakan nak singkirkan UMNO, mana boleh dia nak singkirkan parti yang palig besar dalam gabungan itu (BN),” katanya. 

UMNO juga dalam masa yang sama tambah Soi Lek perlu terbuka membenarkan semua rakan komponennya meninggalkan BN dan selesaikan masalah yang dihadapi pada masa ini. 

“UMNO perlu terima hakimat BN bukan lagi satu jenama politik yang diterima. UMNO ada masalah, MCA pun ada masalah,” tambahnya.

Sebelum ini Tiong Lai memberi amaran akan menyingkirkan UMNO dari BN jika parti itu menjalinkan kerjasama dengan Pas. 

Kenyataannya itu dibuat etelah kedua-dua parti dilihat mesra dan cenderung antara satu sama lain khususnya bermula pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Balakong sehingga Muktamar Pas. – MalaysiaGazette