Menteri Wilayah, Khalid Samad
Menteri Wilayah, Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Penjualan tanah-tanah di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilakukan secara tender terbuka pada masa hadapan, kata Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Ketika diminta untuk mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Pusat Pembenteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel yang mahu Menteri Wilayah mendedahkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penjualan tanah DBKL dan langkah-langkah pencegahan yang bakal dilaksanakan, Khalid berkata, proses rundingan terus yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu tidak akan diamalkan lagi.

“Siasatan kementerian terhadap penjualan tanah DBKL adalah dari aspek komersial sahaja iaitu untuk menilai sama ada DBKL menerima harga yang sepatutnya dalam urusniaga berkenaan.

“Siasatan SPRM pula berbeza. Mereka melakukan siasatan secara bebas dan melihat dari aspek rasuah dan salah guna kuasa.

“Siasatan kementerian tidak akan menjejaskan siasatan SPRM, saya sudah sahkan dengan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Khalid, kementeriannya tidak menerima sebarang salinan laporan daripada SPRM berhubung penjualan tanah DBKL.

Beliau mencadangkan Gabriel mendapatkan salinan tersebut daripada SPRM sendiri.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan