Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Gejala rasuah di dalam negara hampir tiada, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mendapati syarikat-syarikat dan peniaga-peniaga sudah tidak lagi merungut atau cakap-cakap belakang mengenai amalan rasuah dalam kerajaan sekarang.

“Dan kalau kita pergi ke luar negara tiada lagi orang akan bertanya apa jadi dengan negara kamu? Dengan menukar kerajaan kita sudah banteras rasuah.

“Rasuah semakin hampir tidak ada, mereka takut dengan undang-undang yang kita gubalkan, kita tubuh badan-badan tertentu yang tumpu pada banteras rasuah.

“Ini adalah satu kejayaan yang besar,” katanya dalam satu wawancara Astro malam tadi.

Mahathir mendakwa sekarang ini tidak ada lagi pegawai-pegawai kerajaan yang ‘mencari keuntungan’ daripada pengurusan mereka.

Jelasnya, ini membuktikan kerajaan sekarang telah berjaya mengubah kepada sifat yang ada pada kerajaan.

“Mana-mana yang terlibat dengan rasuah semasa kerajaan lepas, kita akan siasat supaya kegiatan bersifat jenayah tidak berlaku lagi,” ujar beliau.

Rakyat juga, tambah Mahathir sudah tidak berasa tertekan.

Dakwa beliau, dahulu mereka yang tidak menyokong parti kerajaan (Barisan Nasional) akan didatangi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dikenakan bayaran tambahan.

Tambahnya, jika syarikat itu tidak membayar, perniagaan dan akaun akan dibekukan serta tidak boleh berniaga.

“Perasaan mereka amat takut jika berdekatan dengan parti lawan. Sekarang tidak ada lagi dan mereka boleh berniaga dan tiada tuntutan cukai, tiada lawatan SPRM dan sebagainya untuk menggugut, tidak berlaku lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette