KUALA LUMPUR – Dua lagi mayat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang ditemui hari ini, menjadikan jumlah korban meningkat kepada enam orang, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mayat mangsa kelima dibawa keluar pukul 12.40 tengah hari manakala mayat mangsa keenam dibawa keluar 10 minit selepas itu.

Bagaimanapun identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan pasukan penyelamat masih lagi mencari mangsa-mangsa yang terperangkap.

Keladian pukul 1.56 tengah hari Jumaat  sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala lima lagi dikhuatiri masih terperangkap di dalam runtuhan tanah.

Sehingga kini, kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari Jumaat itu mengakibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Pada Jumaat dua mayat ditemui iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35.

Semalam mayat Khin Aye Khaing, 33, wanita Myanmar ditemukan pukul 1.30 pagi Sabtu dan mayat keempat Bahtiar, 36, lelaki Indonesia ditemui pada 11.55 pagi.

Kira-kira 100 anggota dan pegawai pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi seperti bomba, pasukan SMART, polis dan Angkatan Pertahanan Awam telah bersiap sedia untuk meneruskan operasi SAR yang masuk hari ketiga hari ini. – MalaysiaGazette