Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan, apabila berlaku pengecilan skala projek serta pengurangan skop kerja sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan menurun berbanding perjanjian asal.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum memuktamadkan hala tuju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL); sama ada untuk meneruskan projek ini atau tidak kerana ia tertakluk kepada hasil rundingan yang sedang dijalankan.

Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Barisan Nasional telah mengumumkan kos sebanyak RM55 billion tetapi kos sebenar projek ECRL adalah sebanyak RM80.92 billion.

Kos ini terdiri daripada kos pembangunan sebanyak RM69.83 bilion dan kos pembiayaan sebanyak RM11.09 bilion.

Lim Guan Eng berkata, sehingga kini, pihak MRL selaku pemaju projek ECRL telah membayar China Communications Construction Company (CCCC) sejumlah RM19.68 bilion.

Jumlah tersebut terdiri daripada bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion yang bersandarkan “Advance Payment Bond” dan bayaran kemajuan projek sebanyak RM9.67 bilion bagi kerja-kerja kemajuan projek setakat 15 Febuari 2018.

Perlu dinyatakan bon bayaran pendahuluan RM10.02 bilion ini boleh ditebus oleh MRL sekiranya projek ini dihentikan.

Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku senario terburuk maka Kerajaan Persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang telah dibayar.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang), Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) dan Wan Hassan bin Mohd Ramli (Pas-Dungun) mengenai status projek ECRL.

Tambahnya, empat sesi rundingan telah dilakukan antara wakil kerajaan Malaysia dan wakil kerajaan China sejak bulan Julai 2018 bagi membincangkan hala tuju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Lanjutan daripada itu, pihak MRL dan CCCC juga telah mengadakan beberapa sesi rundingan teknikal di antara syarikat sejak bulan Julai sehingga Oktober 2018 bagi memperhalusi cadangan dan langkah-langkah untuk mengurangkan kos perbelanjaan bagi menyiapkan Projek ECRL.

“Walau bagaimanapun sehingga kini, pihak MRL dan CCCC masih belum mencapai persetujuan bagi cadangan pengurangan kos perbelanjaan projek ECRL. Namun begitu, segala butiran perundingan masih perlu dirahsiakan sehingga rundingan selesai dan persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak, katanya.

Kerajaan, kata Guan Eng telah mengarahkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), syarikat di bawah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan mengeluarkan notis penggantungan kerja serta-merta pada 3 Julai lalu kepada CCCC selaku
kontraktor utama.

Ekoran itu, semua kerja-kerja dan perkhidmatan berkaitan projek ECRL telah digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.- MalaysiaGazette