Datuk Kamarudin Jaffar

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan perkhidmatan e-hailing kerana belum mempunyai sebarang dasar atau pendirian berhubung perkara itu ketika ini.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, pada masa yang sama pihaknya komited dalam memastikan memastikan ia beroperasi tanpa sebarang kelebihan berbanding pengangkutan teksi.

Jelas Kamarudin, perkhidmatan e-hailing digunakan seluruh dunia ketika ini dan agak sukar untuk menghapuskan begitu sahaja apatah lagi ianya mendapat permintaan tinggi termasuk di negara ini.

“Perkhidmatan Uber dan Grab mempunyai peranannya tersendiri sebagai pengangkutan awam yang menerima permintaan umum dalam jumlah yang besar.

“Secara dasarnya agak sukar untuk kerajaan menghapuskan perkhidmatan ini, apa yang kita mampu lakukan pada masa hadapan ialah samaratakan peranan serta peluang perniagaan antara teksi, Uber dan Grab,” katanya kepada pemberita sebentar tadi di lobi Parlimen.

Kamarudin mengulas sama ada kerajaan akan menghapuskan e-hailing susulan rungutan pelbagai pihak terutama pengusaha teksi terhadap perkhidmatan itu.

Tambah beliau, kementeriannya telah menetapkan syarat-syarat yang sama seperti pengusaha teksi kepada syarikat e-hailing untuk mereka beroperasi seperti pendaftaran dan pemeriksaan kenderaan.

“Sekurang-kurangnya kita akan bertindak adil apabila penguasaha e-hailing tidak ada kelebihan antara satu sama lain.

“Kita perlukan masa kerana ianya sedang dilakukan secara berperingkat, jumlah penguasa mencecah sehingga 600,000. Perlu masa sedikit,” ujarnya.

Dalam pada itu, tindakan ‘biadap’ segelintir pemandu teksi terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya berlaku apatah lagi beliau merupakan seorang pemimpin yang begitu mementingkan kebajikan rakyat termasuk kumpulan pemandu teksi.

“Keluarkan kata-kata kesat terhadap beliau tidak sepatutnya tidak berlaku apatah lagi beliau memang prihatin dengan nasib pemandu teksi khususnya di Parlimen Langkawi itu sendiri. – MalaysiaGazette