KUALA LUMPUR – Kekurangan pelapis baharu bagi genre nasjid menyebabkan masa depan muzik itu semakin membimbangkan.

Salah seorang anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz mengaku kumpulan-kumpulan nasyid dalam negara sering membincangkan isu ini kerana melihat genre itu seperti melukut di tepi gantang.

“Setiap kali ada perjumpaan persatuan, kami kumpulan nasyid otai memang berbincang mengenai masalah ini.

“Kita kekurangan pelapis muda yang mampu meneruskan legasi irama nasyid yang cukup gemilang suatu ketika dahulu. Sampai bila mahu mengharapkan kami?,” katanya.

Untuk terus mengekalkan genre nasyid, Azadan berkata, sepatutnya stesen-stesen televisyen menjemput kumpulan nasyid untuk program yang bersesuai.

“Mungkin stesen televisyen boleh mengundang kumpulan nasyid dalam apa sahaja program yang sesuai. Mungkin itu dapat membantu merancakkan lagi perkembangan genre muzik ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Rabbani mengumumkan bakal menjayakan Malam Amal Kemanusiaan Eyes2Heart di Restoran Terapung D’Saji Titiwangsa pada 11 November.

Pada majlis itu, kumpulan tersebut juga akan melancarkan single terbaru yang bertajuk Ittihad.  – MalaysiaGazette