Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong

PETALING JAYA – Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak melakukan U-turn dalam soal penghapusan hukuman mati, tetapi kerajaan sedang mengkaji pembayaran “pampasan” kepada pihak yang mana ahli keluarga mereka menjadi mangsa jenayah yang membawa hukuman mati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, memandangkan penghapusan hukuman mati telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet terdahulu, maka isu itu tidak akan dibawa kepada kendalian Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk “menenangkan”  dan meringankan beban yang ditanggung ahli keluarga, kerajaan sedang mengkaji pemberian  “pampasan” dengan merujuk amalan di Amerika Syarikat.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, pihaknya sedar reaksi besar daripada masyarakat termasuk ahli keluarga mangsa selepas penghapusan hukuman mati diumumkan.

“Oleh itu, kerajaan mengkaji pampasan untuk meringankan beban dan mengurangkan penderitaan mental mereka.

“Pampasan kewangan diperlukan kerana mangsa yang terlibat mungkin merupakan tunjang ekonomi keluarga,” katanya kepada akhbar bahasa Cina tersebut.

Menurutnya, pampasan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk status mangsa sebagai ayah atau anak, sebagai tunjang ekonomi keluarga serta impak yang dihasilkan selepas keluarga berkenaan kehilangan mangsa.

“Tidak kira mengadakan pengebumian atau berulang-alik hospital, mahkamah dan  balai polis, semuanya melibatkan kos.

“Amerika Syarikat memang ada amalkan pampasan seperti ini pada masa ini, jadi kami akan merujuk amalan negara ini,” katanya.

Jelas Vui Keong, kerajaan perlu meminda tujuh akta jika mahu menghapuskan hukuman mati kerana terdapat 32 jenayah boleh dijatuhkan hukuman itu.

Jenayah tersebut, menurutnya, termasuk mengisytihar perang ke atas Yang Dipertuan Agong, membunuh, cuba membunuh dalam tempoh dipenjarakan seumur hidup, culik bunuh, rogol bunuh, merogol kanak-kanak dan memiliki senjata api.

Katanya lagi, banduan yang sudah dijatuhkan hukuman mati sebelum ini tidak akan dilepaskan selepas hukuman itu dihapuskan.

“Mahkamah akan mendengar semula kes berkenaan dan akan mempertimbang hukuman minimum penjara 30 tahun atau penjara seumur hidup.

“Jika dipenjara 30 tahun, perhitungan adalah bermula daripada tarikh hukuman baharu dijatuhkan,” katanya.

Tambahnya lagi, sebanyak 142 negara telah menghapuskan hukuman mati manakala 56 negara mengekalkan hukuman itu.

Mengikut rekod, terdapat 1,267 banduan yang sedang menunggu hukuman selepas dijatuhkan hukuman mati. – MalaysiaGazette

Hormati Parlimen, tubuh jawatankuasa bincang mansuh hukuman mati – MCA

Mansuh hukuman mati biar menyeluruh

Hukuman mati wajar diteruskan bagi kes dadah