Dr. Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memastikan keputusan akhir mengenai isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dapat diterima semua pihak.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Eddin Khoo, anak kepada pakar sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim; Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Yew Sing; dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim .

Maszlee berkata, tiga individu tersebut akan melakukan kajian realistik dan objektif mengenai UEC.

Katanya, usaha yang dilakukan termasuk membina persefahaman mengenai isu yang mencetuskan perdebatan tersebut.

“Saya sendiri akan  terus berjumpa dengan wakil-wakil persatuan terbabit dengan harapan persefahaman akan dicapai,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Menurut Maszlee, jawatankuasa khas itu akan bermesyuarat dengannya secara kerap berhubung pengiktirafan UEC.

“Usaha mengkaji UEC secara menyeluruh dijalankan secara berterusan,” katanya.

Tambah Maszlee, beliau telah bertemu dengan pihak yang menyokong dan membantah pengiktirafan UEC serta mendengar pandangan mereka.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengiktiraf UEC sebelum pilihan raya umum akan datang, Maszlee menjawab sambil bersenyum: “Bagi saya, keharmonian adalah lebih penting.” – MalaysiaGazette