Tun Musa Hitam
Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam (WIEF), Tun Musa Hitam menyampaikan ucapan pada Perasmian AKEPT-WIEF Forum Perusahaan Sosial 2018 di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ISTAC, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR- Keusahawanan sosial mampu mengubah landskap ekonomi dan sekaligus merapatkan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin serta penduduk bandar dan luar bandar.

Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIFE), Tun Musa Hitam berkata, tanpa mengharapkan kerajaan, setiap individu mahupun badan bukan kerajaan (NGO) perlu bergabung tenaga untuk melaksanakan projek-projek mapan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya golongan sasar.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai insentif kerana ia melibatkan kerajaan.

“Apa yang penting di dalam keusahawanan sosial adalah penglibatan pihak swasta, individu atau NGO yang sanggup mengenepikan kepentingan sendiri demi membangunkan masyarakat,”katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Keusahawanan Sosial AKEPT-WIEF di sini hari ini.

Jelas Musa, keusahawanan sosial bukan satu model perniagaan baharu tetapi popularitinya mula mendapat tempat di seluruh dunia.

Konsep mulia itu boleh menadi instrumen bagi menyelesaikan masalah sosial seperti ketidaksamaan agihan peluang terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Apabila sesebuah organisasi itu melaksanakan keusahawanan sosial, sebahagian keuntungan yang diperolehi mereka akan terus disalurkan kepada masyarakat menerusi pelbagai cara seperti pendidikan, perkongsian pengetahuan dan kemahiran serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Forum anjuran bersama AKEPT dan WIEF itu menggalakkan dialog aktif dan perkongsian kerja di antara universiti-universiti serta meneroka hubungan-hubungan yang boleh diperkukuh di antara universiti dengan usahawan sosial.

Ia juga bermatlamat untuk mencari peluang menggalakkan pembangunan usahawan sosial di dalam universiti.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

Tinggalkan Jawapan