Keputusan ujian sampel laksa yang diambil daripada sebuah premis di Kampung Landak, Baling dekat sini yang disyaki punca keracunan dan menyebabkan 2 kematian, dijangka diketahui selewat-lewatnya 2 hari lagi.
Keputusan ujian sampel laksa yang diambil daripada sebuah premis di Baling disahkan menganduni bakteria. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan kes keracunan selepas makan laksa di Kupang, Baling, Kedah berpunca daripada Salmonella enterica serovar Weltevreden.

Ia adalah hasil siasatan dan keputusan lengkap daripada Makmal Makanan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang).

“Agen penyebab keracunan makanan ini adalah Salmonella enterica serovar Weltevreden. Bakteria ini telah dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan sampel mi laksa yang terlibat,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, bakteria tersebut berpunca dari satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober 2018 dari gerai terbabit.

Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober tersebut dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai tersebut, katanya dalam satu kenyataan.

Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih, serta suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesan dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman.

Katanya, hasil siasatan itu telah dimaklumkan kepada pemilik gerai laksa terbabit semalam.

Noor Hisham berkata, Salmonella enterica serovar Weltevreden adalah salah satu dari serotaip bakteria Salmonella spp, yang mana jangkitan oleh bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit.
Jangkitan lazimnya berlaku akibat pencemaran makanan dan air oleh bakteria ini.

Katanya, tiada kes baru dikesan sejak 9 Oktober 2018 dan jumlah keseluruhan kes kekal 83 kes termasuk dua kematian; dengan pecahan 34 kes di Perak (termasuk dua kes kematian], 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Semua kes yang dirawat di hospital telah pesakit telah dibenarkan keluar.

Gerai menjual laksa yang terlibat telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober 2018.

Jelasnya, pemilik gerai harus mengambil langkah-langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya.

“Tuan punya gerai terbabit juga telah dimaklumkan sekiranya semua keperluan ini dipatuhi maka premis ini boleh dibuka semula,” ujarnya. – MalaysiaGazette