Pemindaan Akta Kerja 1955 untuk mewajibkan cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja mungkin menyebabkan majikan memilih untuk tidak mengambil pekerja yang berumahtangga.
Gambar hiasan

IPOH – Pemindaan Akta Kerja 1955 untuk mewajibkan cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja mungkin menyebabkan majikan memilih untuk tidak mengambil pekerja yang berumahtangga.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, pertambahan cuti bersalin pasti memberi kesan kepada perusahaan, tetapi tahap impaknya adalah bergantung kepada skala perniagaan.

Menurutnya, perusahaan tertentu akan mengalami peningkatan kos dan pengurangan daya pengeluaran pada peringkat awal pelaksanaan dasar baharu itu.

“Cuti bersalin selama dua bulan telah menyebabkan majikan sukar mengaturkan tenaga kerja, apatah lagi jika satu perempat daripada tempoh setahun dijadikan cuti.

“Saya tidak akan berasa pelik jika sesetengah syarikat mengurangkan atau mengelak daripada mengambil pekerja wanita yang sudah berkahwin,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Menurutnya lagi, sistem kerja lima hari seminggu, cuti tahunan, cuti umum dan cuti bersalin yang panjang akan menjejaskan operasi perusahaan.

“Majikan akan berdepan masalah dalam pengagihan kerja dan keadaan ini akan memberi tekanan kepada perusahaan,” katanya. – MalaysiaGazette