Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menunjukkan barang-barang yang berjaya dirampas pada sidang mengenai kejayaan polis komersial Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket scam siber dan pinjaman tidak wujud di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Satu operasi besar-besaran akan diadakan polis tidak lama lagi untuk menggempur dan menangkap seramai 39,743 keldai akaun bank terlibat dalam jenayah komersial siber, scam dan pinjaman tidak wujud di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, daripada jumlah itu, majoriti pemegang keldai akaun ialah wanita.

“JSJK akan memulakan oprasi besar-besaran sebab kami mendapati sejak 4 tahun kebelakangan ini iaitu bermula 2015,2016,2017 dan 2018 jumlah penama yang terlibat dengan akaun keldai meningkat sehingga mencapai 39,743 akaun.

“Yang terlibat dengan tiga jenis jenayah siber berkenaan 4729 keldai akaun dan lebih mengejutkan ramai akaun keldai ialah kaum wanita dan semua keldai akaun ini akan diburu habis habisan,” katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ Jalan Tun Razak di sini.

Tambahnya,daripada jumlah itu secara purata satu keldai akaun terlibat dengan penipuan lebih 10 kali dan ia semakin bertambah.

“Pada tahun 2015 5411 keldai akaun direkodkan tetapi tahun ini sahaja ia berlipat ganda iaitu 11,265 keldai akaun disebabkan begitu mudah untuk membuka akaun simpanan di negara ini.

“Masalahnya di negara ini senang membuka akaun bank dan mudah diperdayakan oleh sindiket E-Dagang dan pinjaman tak wujud,” ujarnya.

Beliau menggesa institusi bank di negara ini mengetatkan syarat pembukaan akaun simpanan untuk pelanggannya bagi menangani kewujudan keldai akaun.

Menurutnya, jumlah transaksi kewangan berjumlah lebih RM800 juta disalurkan ke 39,743 keldai akaun ini dan tindakan tegas perlu disegerakan,” tegasnya.

“Bank-bank di sini harus memperketatkan peratusan pembukaan akaun dan perlu melibatkan semakan dan penilaian terperinci sebelum meluluskan akaun simpanan untuk pelanggan mereka.

“Kesemua keldai akaun disiasat dan akan ditangkap mengikut kesalahan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun penjara.

“Jangan diperdayakan oleh mana mana pihak jangan beri akaun anda kepada mana mana pihak sewenang-wenangnya dan saya menyeru perbankan meneliti sebelum membenarkan orang awam membuka akaun simpanan,” ujar beliau.- MalaysiaGazette