Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Abdul Hamid Mohamad

Bahagian 1

SAYA merujuk kepada ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh media internet pada 10 Oktober 2018.

Oleh sebab laporan itu berbeza, melalui seorang sahabat, saya memperolehi teks verbatim dalam Bahasa Melayu.

Saya percaya ucapan itu tidak ditulis terlebih dahulu, sebab itu ia tidak tersusun dengan rapi. Saya akan perturunkan bahagian yang saya hendak ulas dan cuba memahami apa yang sebenarnya dimaksudkan.

Antara lain, dalam ucapan itu, beliau berkata:

“Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas secara adil. Yang diutamakan keadilan bukan kerana takut dan tidak naik pangkat oleh pihak tertentu. Sebab itu sekarang ini pemilihan hakim akan diberi kepada Parlimen. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat semua. Mereka yang akan menentukan baik atau tidaknya calon dikemukakan.

Kalau dahulu tidak ada pemeriksaan oleh Parliamentary Committee, sekarang ini kita perkenalkan Parliamentary Committee akan tapis segala calon untuk jawatan tertentu. Selepas itu, baru boleh dikemukakan nama kepada Agong. Itulah cara kita.”

Apa yang saya fahami ialah untuk membolehkan hakim menjalankan tugas mereka dengan adil, tanpa takut dan tidak perlu takut (tidak akan naik pangkat) kepada pihak tertentu, pemilihan hakim akan dibuat oleh Parlimen. Parlimen akan menentukan kesesuaian calon itu.

Bagi tujuan itu, satu jawatankuasa Parlimen ditubuhkan untuk memilih calon berkenaan sebelum nama-nama yang diperakui dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka.

Saya percaya “pihak tertentu” yang dimaksudkan itu adalah Perdana Menteri, sebab Perdana Menterilah yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pelantikan hakim.

Adalah tidak jelas sama ada nama-nama itu akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas dipilih oleh Jawatankuasa Parlimen atau nama-nama itu perlu diluluskan oleh Parlimen (Dewan Rakyat) selepas dipilih oleh jawatankuasa itu.

Juga tidak jelas sama ada cadangan itu hanya bagi memilih calon-calon untuk pelantikan pertama (Pesuruhjaya Kehakiman) atau juga meliputi kenaikan pangkat, misalnya daripda Pesuruhjaya Kehakiman kepada Hakim Mahkamah Tinggi, daripada Hakim Mahkamah Tinggi kepada Hakim Mahkamah Rayuan hinggalah kepada Ketua Hakim Negara.

Tetapi, oleh sebab semuanya melibatkan pelantikan baharu, saya akan bincang mengenai kenaikan pangkat juga.

Secara ringkas, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, memperuntukkan:

“….Hakim-hakim… hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan  Agong,  yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding  dengan Majlis Raja-Raja.

(2)  Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang Hakim, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara.”

Peruntukan itu kekal sehingga sekarang. Cuma dalam tahun 2009, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman telah ditubuh untuk mencadangkan nama-nama calon hakim itu kepada Perdana Menteri.

Selama 51 tahun sehingga penubuhan suruhanjaya itu, Malaysia mempunyai lima Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perbincangan mengenai hubungan Eksekutif dan Kehakiman boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah semasa Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Bahagian kedua ialah semasa Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Kebetulan ketiga-tiga Perdana Menteri pertama itu adalah peguam yang sama-sama belajar undang-undang di England dengan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain, malah ada pada masa yang sama dan mengenali antara satu sama lain sebagai pelajar.

Perdana-Perdana Menteri itu juga mempunyai latar belakang yang hampir sama. Ini mungkin mempengaruhi tindakan atau reaksi mereka dalam sesuatu perkara.

Sepanjang tempoh itu, hubungan Eksekutif dan KeHakiman adalah hormat menghormati. Memanglah bilangan hakim pun sedikit. Dalam tahun 1970an, bilangan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya sebanyak empat orang berbanding dengan 29 orang hari ini. Jika berlaku keperluan, Ketua Hakim Negara akan mengemukakan nama calon hakim kepada Perdana Menteri dan dia dilantik.

Antara yang dilantik pada masa itu, selain daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman (seperti Dato’ Wan Yahya Pawanteh, Tan Sri Gan Chit Tuan dan Encik Abdul Razak Abu Samah) dan peguam (seperti Tan Sri Eusoffe Abdoolcader,  Tan Sri Chang Min Tat dan Dato’ Fred Arulanandum), terdapat juga bekas ahli politik Barisan Nasional (seperti Tun Mohd Zahir Ismail dan Tan Sri Wan Adnan Ismail) dan pembangkang (seperti Datuk Seri George Seah (SUPP – jika tidak silap saya) dan Dato’ Mustapha Husain (Gerakan dan kemudian KITA yang mengikutnya, tidak berapa lama kemudian, “KITA tinggal SAYA”!).

(Cerita beliau ditawarkan jawatan Pesuruhjaya Kehakiman sangat aneh. Mengikutnya, suatu petang, selepas kerjaya politiknya tamat, beliau berjogging di Gurney Drive, Pulau Pinang. Sebuah kereta yang membawa Y.M. Raja Azlan Shah (yang ke Pulau Pinang untuk persidangan Mahkamah Persekutuan) berhenti di sisinya.

Y.M. Raja Azlan Shah memanggilnya dan bertanya, “Kamu mahukah menjadi Pesuruhjaya Kehakiman?” “Tentulah, Engku”, jawabnya. Maka, jadilah beliau Pesuruhjaya Kehakiman dan selepas itu, beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi).

Saya mesti sebut bahawa sistem tersebut pun ada kelemahannya. Saya biasa melihat seorang peguam datang berjumpa Tun Suffian beberapa kali. Lepas itu beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman.

Tidak lama kemudian, beliau dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan jenayah pecah amanah. Beliau didapati bersalah dan dihukum penjara. Nyata, beliau menyangka beliau akan selamat apabila dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman. Beliau tidak jujur kepada Tun Suffian yang mempercayainya. – MalaysiaGazette

bersambung…

 

Penulis adalah Tun Abdul Hamid adalah Ketua Hakim Negara dari 2 November 2007 hingga 18 Oktober 2008