Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Walaupun berbeza parti serta prinsip perjuangan namun itu tidak langsung menghalang bekas Menteri UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk terus menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah bekas Menteri Kebudayaan dan Pelancongan itu mengakui, sokongan beliau akan tetap selamanya tidak kira Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya menjawat jawatan Perdana Menteri yang ke-8 atau sebaliknya.

“Persahabatan serta sokongan saya terhadap Anwar adalah iklas dan selamanya. Saya adalah penyokong tegar beliau malah kawan baik beliau selama ini.

“Malah untuk pengetahuan anda, saya pernah hadiri majlis perkahwinan anaknya, Nurul Izzah sebelum ini. Susah senang, beliau adalah kawan saya.

“Mungkin Anwar pernah meninggalkan UMNO sebelum ini, saya tidak tinggalkan UMNO sehingga sekarang. Tetapi persahabatan saya dengan beliau sentiasa terjalin,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Bukan lagi satu rahsia tentang hubungan antara Nazri Aziz dan Anwar apatah lagi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson baru-baru ini, anggota Majlis Tertinggi Umno itu tampil menyokong Anwar.

Apa yang lebih mengejutkan walaupun UMNO telah memboikot PRK Port Dickson itu namun Nazri Aziz secara terbuka menyatakan kesanggupannya untuk berkempen untuk Anwar.

Jelas Nazri Aziz, sokongan tersebut tetap sentiasa diberikan walaupun sebelum Pakatan Harapan (PH) membentuk menjadi kerajaan pusat ketika ini.

Bagaimanapun, Nazri Aziz bertegas persahabatan beliau dengan Anwar tidak akan sesekali menjejaskan kesetiaannya dengan UMNO.

“Ini tidak bermakna saya akan tinggalkan UMNO pula. Saya tidak akan tinggalkan UMNO,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Nazri Aziz juga tidak menolak kerjasama antara PKR dan UMNO pada masa hadapan.

“Dalam politik Malaysia ini, apapun tidak mustahil. Kita tunggu dan lihat,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan