Azam Baki
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan kononnya kegiatan rasuah semakin berleluasa hingga menyebabkan berlaku pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands, Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, sebagaimana laporan sebuah akhbar tempatan semalam, kegiatan itu terus berulang.

Dalam hal itu, katanya, SPRM berharap pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang di tanah tinggi itu segera mengambil tindakan sepertimana keputusan Pasukan Petugas Khas Op Gading yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Kejadian penerokaan kebun haram yang berulang tidak sepatutnya timbul dan kita memandang serius sekiranya perkara itu ada kaitan dengan isu rasuah atau salah guna kuasa.

“Tindakan undang-undang akan diambil di bawah bidang kuasa suruhanjaya ini bagi menangani isu rasuah itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dalam kejadian 14 Oktober lalu, dua wanita dan seorang lelaki warga Myanmar maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Terla, Cameron Highlands.

Dua daripada mangsa adalah pasangan suami isteri dan menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, dua wanita yang maut itu dikenali sebagai Naing Vai, 23, dan Mu Aye Aye, 34 tahun.

Mangsa ketiga dikenali sebagai Aung Thong, 23, ditemui pada jam 12.25 tengah hari iaitu kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Sementara itu, sebuah akhbar tempatan yang merujuk kenyataan pakar, meramalkan tanah runtuh boleh berlaku bila-bila masa di Cameron Highlands kerana ia giat diteroka untuk pertanian.

Ia bertambah runcing apabila tiba musim hujan dan tidak ada tindalan serta pemantauan secara berskala diambil pihak berkuasa untuk mengelakkan daripada berlaku kejadian itu.

Menurut Azam, berdasarkan statistik, sejak 2015 hingga kini, SPRM telah membuat tangkapan terhadap 23 individu dan mendapat izin mendakwa terhadap 11 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 berkaitan isu tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai kegiatan rasuah membabitkan kes pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands melaporkan terus kepada pejabat berdekatan.

SPRM juga tegasnya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat kegiatan rasuah atau salah guna kuasa sehingga menyebabkan isu itu berulang. – MalaysiaGazette