You Poh Khoon dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk dibacakan pertuduhan membunuh bapanya pada 9 Oktober lalu. foto Bernama

IPOH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh bapanya 9 Okt lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh You Poh Khoon, 52, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pembunuhan ke atas You Su Kim, 74, antara pukul 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari di dalam rumah di Khantan Baru Chemor di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia ASP Zuraidah Mohd Noor memohon mahkamah memberi kebenaran untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini, tidak lebih dari sebulan untuk pemerhatian.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dihantar ke hospital tersebut untuk pemerhatian selama sebulan dan menetapkan 16 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abdul Rahman sebelum ini berkata suspek dipercayai membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada enam bahagian selepas berang ditegur ketika menghisap dadah di dalam rumah mereka.

Menurut Yahya kepala warga emas itu ditanam di belakang rumah mereka, manakala bahagian badan pula dibuang ke lubang pembentungan sedalam lima kaki. – MalaysiaGazette