Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia akan menutup 34 Klinik 1Malaysia (K1M) secara berperingkat-peringkat.

Ia merupakan pelan transformasi yang akan dilakukan, selain menaik taraf dan menjenamakan semula K1M.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada 347 K1M di seluruh negara, 293 akan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti, 20 buah dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan.

Tujuan asal penubuhan K1M adalah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan ringan kepada masyarakat terutama di kawasan penduduk yang padat dan berpendapatan rendah.

“Pelan transformasi yang akan kementerian lakukan ke atas perkhidmatan K1M ini bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, selain menyusun keperluan dan pengurusan sumber,” katanya di Parlimen hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, pelan transformasi itu mempunyai tiga komponen utama iaitu menambah nilai K1M kepada Klinik Komuniti dengan memfokuskan perkhidmatan disediakan menjurus kepada rawatan pesakit luar fokus kepada rawatan dan kawalan penyakit tidak berjangkit serta kecemasan asas.

Katanya, komponen ketiga pula ialah penempatan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di fasiliti terpilih secara berperingkat, selain menaik taraf fasiliti yang sesuai kepada Klinik Kesihatan dan penamatan perkhidmatan fasiliti yang tidak kos efektif.

“Transformasi K1M kepada Klinik Komuniti ini bakal menambah baik mutu penjagaan kesihatan kepada golongan sasar kerana fungsinya yang berfokus kepada rawatan pesakit luar.

“Ia khususnya dalam menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi.

“Ini akan membezakan fungsi antara Klinik Komuniti dan Klinik Desa yang mempunyai fokus perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak,” katanya dalam jawapan lisan dan soalan tambahan dari pembangkang.

Kata Dr Dzulkefly, melalui pelan transformasi itu juga fasiliti K1M yang menyediakan perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak akan dinaik taraf secara berperingkat kepada Klinik Kesihatan.

“Dengan langkah ini, proses evolusi perkhidmatan daripada Klinik Komuniti dan Klinik Desa kepada Klinik Kesihatan menjadi lebih jelas,” katanya.

Mengenai penempatan doktor (Pegawai Perubatan) di K1M Sungai Tulai, Bintangor, katanya, Kementerian beliau akan menempatkan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di semua 293 Klinik Komuniti secara berperingkat, termasuk di Sungai Tulai, Bintangor.

Berhubung jumlah Klinik Desa pula, beliau memberitahu Parlimen, sehingga kini sebanyak 1,792 Klinik Desa (KD) di seluruh negara dan pihaknya sentiasa prihatin dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Perkhidmatan itu katanya, termasuk di Klinik Desa yang pada masa ini hanya memberi perkhidmatan kesihatan untuk ibu dan kanak-kanak serta rawatan ringan.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk menaik taraf KD kepada Klinik Kesihatan (KK) yang akan memberi perkhidmatan komprehensif kepada pesakit luar, kecemasan dan kesihatan ibu dan anak.

“Pelaksanaan naik taraf KD ke KK akan dilaksanakan melalui sama ada pembinaan KK baharu bagi infrastruktur yang uzur atau penambahan bangunan bagi perkhidmatan pesakit luar dan kecemasan.

“Sejak 2011 sebanyak 122 KD telah dinaik taraf kepada KK. Bagaimanapun, naik taraf KD kepada KK akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan juga tertakluk kepada keupayaan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette