PUTRAJAYA – Atlet angkat berat Pahang dan atlet judo Perak yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak baru-baru ini, disahkan positif ujian doping.

Perkara itu diumumkan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz pada satu sidang media di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Dr Ramlan berkata ini kali kedua atlet dari Pahang berumur 21 tahun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang selepas gagal dalam ujian doping pada 2016, manakala kesalahan dilakukan atlet judo Perak yang juga berumur 21 tahun, adalah kali pertama.

“Sebelum ini atlet (Pahang) tersebut pernah positif menggunakan steroid anabolik dan kali ini hasil ujian makmal mendapati sampel-sampel beliau dikesan mengandungi dua bahan, methylhexaneamine dan dimenthybutylamine.

“Sampel atlet judo dari Perak itu pula dikesan mengandungi bahan terlarang jenis triamcinolone acetonide,” katanya.- BERNAMA