Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus bercakap ketika sesi panel pada Program Malaysia A New Dawn anjuran Kementerian Kewangan Malaysia di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto IAFFAN FAUZI, 09 OKTOBER 2018
Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR -Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa pihak berkuasa untuk meningkatkan ketangkasan dasar sebagai satu daripada empat keutamaan strategik bagi kestabilan kewangan ketika negara bergerak ke arah masa depan yang tidak menentu.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, setiap krisis atau isu kestabilan kewangan adalah berbeza, dan setiap daripadanya memerlukan tindak balas dasar yang berbeza.

“Tekanan adalah pada pihak berkuasa untuk bertindak balas menangani pelbagai masalah, yang jarang difahami dengan jelas pada permulaan, dan yang sering berubah dengan cepat,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.

Pada masa depan, Nor Shamsiah berkata rangka kerja dasar sejak dahulu lagi dijangka berada dalam tekanan, kerana ia tidak dibangunkan untuk bertindak balas kepada intensiti dan kemajuan perubahan yang berlaku dalam sistem kewangan.

“Saya percaya penyelesaian tidak terletak pada membangunkan rangka kerja baharu, tetapi dalam mengukuhkan asas institusi yang membolehkan pembentukan rangka kerja yang lebih kukuh. Asas itu termasuklah pihak berkuasa yang membuat keputusan yang jelas, analisis yang boleh diyakini untuk menyokong membuat keputusan, proses maklum balas dan pemantauan rapat yang efektif dan rangka kerja pertanggungjawaban.

“Turut sama penting adalah keupayaan untuk bertindak balas kepada peristiwa yang tidak dijangka memandangkan kesukaran untuk meramal tingkah laku pasaran, terutama sekali dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Bank pusat juga menggesa pihak berkuasa untuk membentuk dasar yang lebih meluas untuk bertindak balas kepada risiko kestabilan kewangan, kerana dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bank pusat dan pihak berkuasa lain yang bertanggungjawab terhadap kestabilan kewangan telah menjelaskan mandat mereka dan mengukuhkan kuasa bagi tujuan ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ini tidak sama sekali terjamin di banyak negara lain di mana pihak berkuasa kestabilan kewangan berdepan had ketara dalam keupayaan mereka untuk bertindak, terutamanya semasa krisis.

Nor Shamsiah juga mencadangkan pihak berkuasa terus membangunkan dan meningkatkan pemahaman mereka tentang pemindahan risiko kerana pendekatan untuk mengukur kesan langsung bagi daya tahan institusi kini telah berkembang dengan baik.

Selain itu beliau berkata pihak berkuasa perlu terus berhati-hati kerana risiko terdekat kepada kestabilan kewangan global meningkat dengan sederhana, manakala risiko jangka sederhana kekal meningkat, meskipun sistem kewangan global kini lebih kukuh.

“Ekonomi sedang pesat membangun berdepan tekanan yang terus menyaksikan aliran modal yang lebih tidak menentu. Keadaan kekangan kewangan juga mendedahkan kelemahan kewangan yang wujud semasa tempoh keadaan monetari longgar yang berlarutan,” katanya.

Nor Shamsiah juga berkata perubahan struktur dalam sistem kewangan meningkatkan risiko baharu termasuk yang berpunca daripada sistem perbankan bayangan yang semakin berkembang dan pemain teknologi kewangan yang mungkin tidak termasuk dalam jaringan kawal selia.

“Dangan roboadvisors, algorithmic dan platform dagangan automatik lain yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) juga berpotensi mendorong tingkah laku pasaran pro-kitaran yang sangat disruptif, walaupun manfaat besarnya dalam mengurangkan kos urus niaga dan peningkatan kecairan pasaran.

“Dan tentu saja, terdapat ancaman siber dengan kos jenayah siber global diunjur mencecah US$2 trilion pada 2019,” katanya. – MalaysiaGazette