Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, partinya mempunyai calon pilihan, tetapi belum memutuskan untuk menghantarnya untuk bertanding.

KUALA LUMPURĀ – Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu dalam pemilihan parti itu pada 17 November ini.

Dominic berkata, keputusan itu dibuat susulan keputusan presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong konsisten tidak mahu mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan akan datang.

“Selepas pengumuman Datuk Seri Mah Siew Keong, saya terima banyak telefon daripada veteran dan ahli parti minta saya untuk ambil alih jawatan presiden.

“Gesaan itu saya juga terima daripada badan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai parti politik.

“Oleh itu saya sudah pertimbangkan dan saya isytiharkan bahawa saya akan bertanding jawatan presiden (Gerakan) pada persidangan nasional Gerakan yang akan datang.

“Siapalah saya kalau parti tidak beri peluang ini platform untuk belajar, sebab itu saya fikir sudah masa untuk beri sumbangan kembali kepada parti,” katanya pada sidang media di Menara PGRM, Cheras, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Siew Keong ingin meletakkan jawatan presiden kepada jawatankuasa pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan kegagalan parti itu memenangi sebarang kerusi.

Bagaimanapun jawatankuasa pusat Gerakan selepas bermesyurat sebulat suara menolak surat Siew Keong dan memutuskan beliau kekal sebagai presiden sehingga pemilihan parti pada 17 November ini.

Dominic juga mengakui jawatan presiden Gerakan merupakan satu tanggungjawab besar dan berat lebih-lebih lagi selepas parti itu tidak lagi bersama Barisan Nasional (BN) selepas PRU14 lalu.

“Jika nak buat kerja-kerja (parti) dengan lebih baik, kita mestilah sepenuh masa menjadi presiden untuk memimpin parti,” katanya.

Katanya lagi, beliau mengakui Gerakan tidak berjaya memenangi sebarang PRU14 pada 9 Mei lalu dan lebih buruk apabila hilang kuasa di Pulau Pinang.

“Gerakan pada PRU12, PRU13 dan PRU14 kita tidak berjaya (memenangi sebarang kerusi) khususnya pada 2008 di mana kita kehilangan Pulau Pinang.

“Sebab itu saya sebut, hilang (kerusi) atau gagal tiada masalah, tapi perkara lebih penting ialah kita kena bangun balik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette