SETIU – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terus mencipta inovasi baharu dalam bidang perubatan negara dengan penghasilan produk anti gout daripada pokok cucur atap yang tumbuh meliar di sekitar kawasan pantai di Terengganu.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata pokok cucur atap atau nama saintifiknya Baeckea Frutescens telah lama digunakan secara tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti sembelit, sakit perut, sakit belakang dan turut digunakan bersama herba lain untuk mengawal tekanan darah dan paras gula dalam darah.

43878022_2253065948056800_3089987970267086848_n
Pokok cucur atap

“Hasil kajian saintifik FRIM selama lapan tahun juga mendapati herba ini mempunyai nilai perubatan yang berpotensi sebagai anti gout.

“Prototaip produk herba cucur atap yang dilancarkan hari ini juga didapati sangat berkesan menghalang penghasilan dan pengumpulan asid urik di bahagian sendi. Ia telah pun dipatenkan dan akan dipasarkan secara komersial dengan mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran produk prototaip anti gout dikenali sebagai GouTree di Stesen Penyelidikan FRIM dekat Bari di sini hari ini.

Penggunaan produk itu boleh diambil dalam dua kaedah iaitu dengan cara memakan kapsulnya atau kaedah semburan di bahagian sendi yang sakit.

Mengulas lanjut, beliau berkata penemuan baharu itu juga bakal memberi impak positif kepada ekonomi Terengganu kerana negeri ini mempunyai 60,000 hektar keluasan tanah berpasir yang sangat sesuai ditanam pokok cucur atap.- BERNAMA