Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa beliau baru sahaja meluluskan bantuan kepada kerajaan Pas Kelantan.

Katanya, dakwaan Kelantan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar gaji penjawat awamnya sehingga memerlukan suntikan dana daripada Putrajaya adalah benar.

“Ianya benar kerajaan Kelantan tidak mampu bayar gaji (penjawat awam).

“Ini sudah lama berlaku. Baru-baru ini, saya sudah luluskan peruntukan untuk membantu kerajaan negeri Kelantan,” katanya kepada media semalam.

Menurut Guan Eng, tanpa Bantuan Kewangan Defisit daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya.

“Hanya kerajaan negeri Kelantan yang merekodkan defisit dalam akaun mengurus untuk lebih lima tahun berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas desakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan agar menarik balik kenyataan yang disifatkannya sebagai menghina negeri tersebut.

Terdahulu, Takiyuddin bertanya di Parlimen sama ada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu boleh mengambil alih projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika ia dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan.

Guan Eng berkata, beliau perlu menunggu surat rasmi jika kerajaan negeri berminat untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kemampuan Kelantan untuk mengambil alih projek berkenaan, sedangkan kerajaan negeri sendiri tidak mempunyai dana yang cukup untuk membayar gaji kakitangannya.

Jawapan itu bagaimanapun tidak disenangi pemimpin pembangkang terutama Takiyuddin yang mendesak Guan Eng menarik balik kenyataan itu.

Menurut Guan Eng, beliau hanya mengulangi apa yang pernah disebut oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai tahap kritikal kewangan negeri Kelantan.

Katanya, Najib ketika masih menjadi Perdana Menteri pernah berkata, kerajaan Kelantan yang diterajui Pas tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya tanpa suntikan dana dari Putrajaya. – MalaysiaGazette