Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin MCA tetap komited dengan Barisan Nasional (BN) selepas berbincang dengan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Justeru, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, sesetengah pihak tidak wajar mencetuskan ura-ura parti itu mahu meninggalkan BN.

“Saya tidak mahu komen mengenai kenyataan (Datuk Seri) Chua Soi Lek..dia tak bertanding jawatan presiden pun.

“Saya dah bincang dengan Ka Siong yang merupakan calon yang berkemungkinan besar menang kerana dia ahli parlimen tunggal MCA.

“Beliau (Ka Siong) komited pada BN…yang mana mana kelemahan MCA dan UMNO, kami akan menanganinya secara bersama jadi janganlah cakap (MCA) nak tinggalkan BN,” katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Tambah Khairy Jamaluddin, beliau sudah berbincang dengan Ka Siong dan Ahli Parlimen Air Hitam itu menyatakan pada dasarnya MCA akan kekal dalam BN.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Soi Lek yang meminta MCA keluar BN dan itu tindakannya jika dia masih memimpin MCA.

Soi Lek juga memuji Parti Gerakan yang bertindak berani meninggalkan BN lebih awal sejurus selepas PRU-14.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa UMNO tidak wujud dan mahu pemimpin dan ahli parti itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), beliau menegaskan, partinya masih ada.

“UMNO masih ada, mungkin Tun M rasa UMNO sudah lemah, jadi kita pun sedang membina semula UMNO,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, Khairy Jamaluddin juga menyambut baik tindakan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menawarkan diri untuk mencari dan mendapatkan ahli perniagaan dikehendaki dalam kes 1Malaysia Development Berhad, Jho Low.

Bagaimanapun, beliau menyarankan kepada bekas Menteri Pertahanan itu memberikan maklumat mengenai Jho Low kepada kerajaan sahaja.

“Itu cara terbaik untuk bawa pulang Jho Low yang diperlukan untuk siasatan. Bagaimanapun perkara seperti ini melibatkan kerjasama agensi antara Malaysia dan China, melibatkan undang-undang.

“Cari Jho Low tidak seharunsnya menjadi satu usaha peribadi, ia mesti melibatkan usaha antara kerajaan dan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette