KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Dr. K. Kenneth Eswaran menerima kekalahan dengan hati ‘terbuka’ pada pemilihan gabungan itu pada Sabtu lepas.

Walaupun keputusan itu mengejutkan segelintir pihak namun fenomena perubahan serta gelombang penolakan telah menghasilkan keputusan itu..

“Ini adalah kehendak dan kemahuan anggota dalam gabungan ini yang sebenarnya mahukan perubahan positif selari dengan Malaysia baharu ketika ini. Ada banyak perkara serta kepincangan yang perlu dibetulkan,” kata sumber kepada Malaysia Gazette.

Kenneth pula yang bercakap dengan media arus Tamil menyifatkan kekalahan ini sebagai sesuatu yang perlu diterima dengan penuh keikhlasan.

“Saya pasrah, saya terima dengan ikhlas. Ini adalah juga keinginan dan kehendak anggota MAICCI pada kali ini.

“Mereka mahukan perubahan dan sudah bersuara. Saya terima dengan terbuka. Bagaimanapun, pada masa yang sama saya juga ingin ‘mengangkat’ diri saya dengan mengatakan saya telah membawa perubahan positif selama menerajui MAICCI.

“Daripada rizab dana yang sangat sikit dan rendah, saya telah membawa ‘kegemilangan’ dengan meningkatkan jumlah itu sehingga mencecah RM5.5 juta bersama pasukan saya.

“Saya gembira dengan pencapaian saya selama berada dalam MAICCI dan berharap kepimpinan baru mampu membawa gabungan ini ke tempat yang jauh lebih tinggi,” ujarnya.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Kenneth Eswaran

Kenneth telah ditewaskan oleh Datuk N. Gobalakrishnan yang mendapat undian sebanyak 111 manakala Kenneth hanya sekadar 76 undian.

MalaysiaGazette turut difahamkan hampir rata-rata anggota ‘pasukan’ Kenneth yang bertanding turut mengalami kekalahan seperti beliau.

Kenneth juga disifatkan antara penyokong ‘kuat’ kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas apatah lagi banyak mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa berbelah bahagi ketika itu.

Selain Gobalakrishnan, yang menjawat jawatan Timbalan Presiden, Datuk Rajashekaran, Naib Presiden, Datuk Subramaniam, Dahlif Singh dan M. Kesavan manakala Setiausaha Agungnya, Datuk AT Kumararajah dan Bendahari pula, Sreekanth. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan