Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia mengkaji semula struktur dan ciri keselamatan blok bangunan tinggi bagi mengelak kemalangan seperti kejadian kanak-kanak jatuh berulang.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pembinaan blok bangunan tinggi sedia ada menepati Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS), namun akan menambah baik peruntukan tersebut sekiranya perlu.

“UKBS telah menetapkan setiap balkoni mesti ada railing (pagar) tidak kurang dari 1 meter. Dari segi spesifikasi dan struktur sudah ada (ciri-ciri keselamatan). Jadi saya kira kita kena lihat balik sama ada perlu atau tidak kita lihat (pembinaan pagar) lebih tinggi.

“Saya pun tidak mahu rumah kita jadi macam penjara sampai tinggi dan sebagainya, sampai kita tidak dapat satu perasaan yang kita ini bebas. Walau bagaimanapun, kita akan selidik dan lihat bagaimana struktur ini diperkemas balik, disemak balik dan ditukar spesifikasinya,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai pemasangan jaring di bangunan tinggi bagi mengelak kes kanak-kanak jatuh bangunan pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 13 Sept lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara.

Sementara itu, Zuraida berkata, KPKT akan mengadakan penyeliaan secara berkala terhadap bangunan tinggi bagi memastikan ia sentiasa selamat.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Alice Lau (PH-Lanang) mengenai syarikat iScada Net Sdn Bhd yang dilantik sebagai syarikat tunggal mengendalikan pemasangan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA), Zuraida berkata ia dipilih setelah mengemukakan tawaran tender yang terbaik.

“Kontrak syarikat itu akan tamat pada 2020 dan kementerian akan menyemak supaya tidak ada unsur monopoli. Kos pemasangan (sekali sahaja) adalah RM2,530, Fi SPKA sebanyak RM150 dan Fi Telco RM70.

“KPKT turut dimaklumkan bahawa sistem SPKA adalah lebih terkini, dan kajian akan dilakukan untuk membandingkan kedua-dua sistem SPKA dan Computerized Monitoring System (CMS) (sistem sebelum ini),” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan