Dr Mujahid (kiri) berbuncang dengan Sheikh Universiti Al-Azhar, Prof Dr Ahmed Muhammad El Tayyib.
Dr Mujahid (kiri) berbuncang dengan Sheikh Universiti Al-Azhar, Prof Dr Ahmed Muhammad El Tayyib.

KUALA LUMPUR – Seramai 96 pelajar jurusan Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, Mesir telah mula memasuki kelas masing-masing selepas menghadapi masalah pendaftaran selama hampir tiga bulan sejak mereka tiba di negara berkenaan pada 14 Julai lalu.

Kenyataan dari Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, masalah dihadapi pelajar berkenaan berjaya diselesaikan selepas pertemuan antara menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bersama Sheikh Universiti Al-Azhar, Prof Dr Ahmed Muhammad El Tayyib pada Sabtu lalu.

Sebelum ini, menurutnya, semua 96 pelajar itu mempunyai masalah untuk mendaftar di Maahad Shoubra berikutan pekeliling baharu yang dikeluarkan pihak Universiti Al-Azhar.

“Pekeliling baharu itu memerlukan pelajar jurusan Qiraat dari luar negara yang ingin menyambung pengajian ke Maahad Shoubra menduduki peperiksaan ‘Qabul’ terlebih dahulu dan wajib lulus.

“Selain itu, syarat lain yang dikenakan ialah setiap pelajar yang mahu menyambung pengajian di maahad tersebut perlu melepasi Muwafawah ‘Amniyyah (tapisan keselamatan) daripada pihak Keamanan Negara Mesir,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, berikutan syarat baharu tersebut, terdapat beberapa masalah yang timbul melibatkan pelajar Malaysia yang hendak menyambung pengajian.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas pertemuan Dr Mujahid bersama Prof Dr Ahmed Muhammad El Tayyib, masalah itu telah selesai, malah pegawai Education Malaysia Egypt (EME) juga memaklumkan pada Isnin, semua pelajar berkenaan telah mula memasuki kelas.

“Untuk makluman, pertemuan tersebut merupakan salah satu daripada agenda utama Dr Mujahid sepanjang lawatan kerjanya selama lima hari ke Kaherah, Mesir.

“Selain mengunjungi Sheikh Universiti Al-Azhar, Dr Mujahid juga menghadiri Persidangan Fatwa Sedunia yang dihadiri mufti dari seluruh dunia.

“Beliau juga mendapat penghormatan mempengerusikan salah satu sesi pembentangan bertajuk ‘Parameter Fatwa Dalam Isu Negara dan Permasalahan Awam’ pada persidangan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Antara agenda lain lawatan kerja Dr Mujahid ke Mesir juga untuk mengadakan pertemuan dan berdialog bersama pelajar Malaysia di republik berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan