KUALA LUMPUR – Pasukan penyelamat masih belum menemui mayat kesepuluh yang dipercayai berada berhampiran kawasan mangsa kesembilan itu ditemui semalam.

Operasi Mencari dan Menyelemat (SAR) ditamatkan pada sekitar 6 petang tadi.

Maklumat terdapat seorang lagi mangsa terdahulu diperolehi berdasarkan keterangan daripada mangsa yang cedera di kejadian itu Syamim yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata ketika kejadian Mohamad Rahaz, yang sehingga kini masih hilang dikhuatiri tertimbus, dikatakan cuba menyelamatkan diri bersama Mohamad Uzzal sebelum kedua-dua mereka ditimbus dalam runtuhan tanah itu.

Mayat Mohamad Uzzal, 33, ditemui di bawah sebuah kontena pada petang semalam pada kedalaman lima meter.

Setakat ini,sembilan mayat telah ditemui terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja.-BERNAMA