Datuk Misbun Sidek.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek yakin bekas anak didiknya Wong Choong Hann dapat menjalankan tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan badminton dengan profesional.

Misbun yang pernah melatih Choong Hann pada tahun 2002 berkata kini situasi berbeza kerana beliau perlu berkerjasama dengan bekas pemain itu dalam memastikan modul latihan yang dijalankan dapat memberikan impak yang berkesan kepada prestasi pemain.

“Saya mengenali keperibadian Choong Hann kerana pernah melatihnya pada 2002. Saya tahu karisma, pendirian dan disiplin dia…saya harap beliau dapat berinteraksi dengan secara profesional dan jangan rasa ada jurang kerana saya pernah melatihnya.

“Memang buat masa sekarang saya ada satu bos (Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) sahaja, tidak semestinya saya tidak boleh berkerjasama dengan pihak yang lain, itu perjanjian dari awal. Perkara penting adalah perlu ada input-input yang bernas dan berkesan untuk para pemain.

“Saya positif dengan pelantikan Choong Hann, pada saya pelantikan itu adalah keputusan daripada pucuk kepimpinan BAM. Saya tiada masalah (mengenai pelantikan itu) yang penting kerjasama untuk membentuk skuad negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini.

Misbun berkata kolaborasi dengan Choong Hann terutama dalam aspek teknikal dapat membantu modul latihan yang diberikan kepada pemain menjadi lebih berkesan dan setanding dengan negara-negara yang sedang meningkat dalam sukan badminton.- BERNAMA