Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada Program Malaysia A New Dawn di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OKTOBER 2018
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan tidak akan mengubah kenyataan kedudukan kewangan Kelantan adalah tenat apabila kerajaan negeri yang di bawah Pas itu gagal membayar gaji kepada kakitangan awam.

Jelasnya, bukan hanya terbukti melalui kegagalan Kelantan membayar balik pinjaman pendahuluan RM388 juta untuk perbelanjaan Kelantan malah negeri itu juga sekali lagi memohon pinjaman pada Jun tahun ini.

Kata Guan Eng, hanya negeri yang bermasalah sahaja akan membuat permohonan pinjaman pendahuluan dan defisit seperti seperti dilakukan Kelantan.

“Pada tahun 2016, Kelantan memang telah menerima RM398 juta, secara
keseluruhan, sebagai pemberian (geran) daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang diterima negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.

“Termasuk di dalam Pemberian RM398 juta kepada Negeri Kelantan ini ialah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan negeri Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya termasuk gaji/emolumen ahli pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga telah meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri.

“Sehingga 31 Disember 2017, kerajaan negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan sebanyak RM388 juta yang menjadikan kerajaan negeri Kelantan penghutang terbesar pinjaman Pendahuluan ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Guan Eng mempertahankan pendiriannya kerajaan Kelantan tidak mampu untuk membayar gaji kakitangan awam.

Menurutnya, fakta itu berdasarkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengungkit bahawa kerajaan negeri tidak akan mampu membayar gaji penjawat awamnya jika tidak kerana suntikan dana dari Putrajaya.

Ekoran itu, Setiausaha Agung Pas yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu,  Datuk Takiyuddin Hassan mendesak Guan Eng menarik balik kenyataan kerana menyifatkannya sebagai satu penghinaan kepada kerajaan negeri.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tidak akan menarik balik kenyataannya itu sebaliknya mempersoalkan tindakan ‘lembut’ pemimpin Pas terhadap bekas Najib yang juga pernah menyuarakan seumpama itu terlebih dahulu darinya.

“Adakah ini kerana saya adalah sasaran ‘lembut’ yang membolehkan barisan kepimpinan Pas mainkan sentimen yang merbahaya sehingga boleh menggunakan fitnah jahat tanpa segan silu?” katanya lagi. -MalaysiaGazette