KUALA LUMPUR – Dua pelajar tingkatan tiga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun.

Mangsa dipercayai anak kepada seorang penggiat industri seni dalam negara.

Kedua-dua pelajar lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dbacakan kepada mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang juga pesalah juvana, masing-masing didakwa merogol mangsa yang juga pelajar tingkatan satu di dewan terbiar Kota Warisan Selayang dan di tandas perempuan Selayang Mall antara Julai dan 20 September lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuan mereka menerusi ibu bapa masing-masing memohon jaminan dikurangkan dengan alasan masih bersekolah dan jumlah pendapatan keluarga tidak menentu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, menawarkan ikat jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan