Satu lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan di tebing jalan laluan Bukit Lama dari Bayan Lepas ke Balik Pulau dekat sini, dipercayai disebabkan hujan lebat lebih dua jam yang bermula 1 tengah hari tadi.
Satu lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan di tebing jalan laluan Bukit Lama dari Bayan Lepas ke Balik Pulau dekat sini, dipercayai disebabkan hujan lebat lebih dua jam yang bermula 1 tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Satu lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan di tebing jalan laluan Bukit Lama dari Bayan Lepas ke Balik Pulau dekat sini, dipercayai disebabkan hujan lebat lebih dua jam yang bermula 1 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.45 petang dan pemeriksaan awal mendapati kejadian tanah runtuh tersebut sepanjang 80 meter.

“Pemeriksaan awal pihak bomba mendapati tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan pemantauan sedang dilaksanakan di lokasi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan berkata hanya satu lorong di laluan itu dibuka dan orang ramai dinasihati menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Bukit Baru-Jalan Tun Sardon.

“Ketika ini hanya satu lorong sahaja dibuka dan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan jalan itu kerana bimbang tanah runtuh menjadi lebih teruk dan berbahaya kepada pengguna lain,” katanya.

Jumaat lepas, kejadian tanah runtuh berlaku di tapak projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong di sini, mengorbankan sembilan orang dan mengakibatkan empat yang lain cedera.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan