Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai di Ibu Pejabat PGRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memastikan barisan pucuk pimpinan baharu pada pemilihan 17 November ini tidak dipilih daripada bekas anggota Kabinet Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia bagi memastikan Gerakan bebas daripada sebarang kontroversi dan skandal melibatkan bekas Perdana Menteri itu khususnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apa yang penting Gerakan perlu mendengar suara akar umbi dan kepimpinan di peringkat bawah sangat penting kepada parti.

“Kita tidak akan bazirkan segala-galanya dan kita sudah lalukan langkah yang tepat apabila keluar daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya fikir ahli kita sangat bangga dengan Gerakan kini jadi parti politik bebas dan selepas ini kita akan fokus untuk mendengar suara akar umbi serta maju kedepan bersama mereka.

“Saya boleh kata kepimpinan seterusnya (akan datang) barisan pemimpin parti tiada lagi daripada kerajaan terdahulu,” katanya pada sidang media di Menara PGRM Cheras, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menggesa parti komponen BN memulangkan dana yang pernah diterima jika mereka mengesyaki ia adalah wang dicuri.

Kit Siang berkata demikian susulan bekas Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek tidak mengesyaki dana diterima parti itu adalah wang curi, sedangkan skandal 1MDB sudah menjadi isu besar sejak 2013 lagi.

Soi Lek dalam temu bual bersama sebuah portal tempatan mengakui menerima dana pilihan raya kira-kira RM16.5 juta bagi Pilihan Raya Umum ke-13 daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Dominic juga menegaskan Gerakan hanya bekerjasama dengan mana-mana parti politik selepas kembali pulih dan mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat selepas pemilihan parti itu, 17 November nanti.

“Kerjasama politik bukan keutamaan saya ketika ini, walaupun kita ada kerjasama, namun ideologi mestilah sama. Bagaimana nak bekerjasama jika ideologi berbeza,” katanya.

Katanya lagi, Gerakan kini sebuah parti politik bebas dan mana-mana polisi yang baik untuk rakyat mereka akan sokong sama ada parti itu daripada kerajaan mahupun pembangkang.

“Apa juga polisi yang tidak baik untuk rakyat, kita akan tentang sudah tentu kita akan suarakan dengan penyelesaian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan