Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Jumaat ini.

Menurut sumber, Rosmah yang sebelum ini dijadual memberi keterangan esok kepada Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini meminta proses itu ditangguhkan.

“Proses ambil keterangan yang dijadual esok telah ditangguhkan atas permintaan Rosmah.

“Selain Rosmah, dua anaknya iaitu Riza Aziz dan Mohd Norashman juga akan hadir memberi keterangan,” kata sumber itu ketika dihubungi hari ini.

Pada 4 Okt lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya berkemungkinan memanggil Rosmah bagi mengambil keterangan melibatkan pelbagai kes termasuk 1MDB.- BERNAMA