Suasana di dalam dewan pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan baharu yang kini diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) belum memberi jawapan muktamad berhubung janji manifesto pelaksanaan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

PH perlu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Tafsiran 1948/1967 yang memisahkan kuasa Pendakwa Raya dan kuasa Peguam Negara.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, pihaknya sedia maklum tentang perkara itu malah mengakui ianya antara janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun, jelas beliau perkara 145 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu.

“Saya tidak nafikan ini antara janji manifesto tetapi pada masa yang sama kita belum dapat tentukan had tempoh bagi pelaksanaan rang-undang ini.

“Seandainya kerajaan mahu melaksanakan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di negara ini, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dan bagi maksud ini Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan adalah terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pengerang (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyoal bila kerajaan PH hendak membentangkan rang undang-undang tersebut dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan