Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menubuhkan Citizen Response Brigade (CRB) dalam merealisasikan usaha kerajaan menangani amalan merokok di tempat awam.

CRB yang terdiri dalam kalangan orang awam diminta bertindak merakam gambar individu-individu yang merokok di kawasan larangan dan gambar itu kemudian diviralkan.

Presiden CASSA, Datuk George Jacob berkata, langkah itu bagi memberi pengajaran kepada mana-mana perokok yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita mahu rakyat Malaysia yang merokok menjaga sensitiviti individu lain terutama anak-anak, wanita mengandung dan warga emas.

“Dengan cara ini, sekurang-kurangnya CASSA berharap CRB memberi impak kepada usaha kerajaan yang melarang menghisap rokok di kawasan awam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mulai tahun depan, semua restoran dan premis makanan di negara ini menjadi kawasan larangan merokok.

Larangan itu termasuk warung-warung di tepi jalan.

Kementerian Kesihatan berkata, tindakan tegas bertujuan memastikan rakyat Malaysia terhindar dari penyakit yang berpunca daripada asap rokok. – MalaysiaGazette